EDU 3106

Satu perkongsian ilmu tanpa batasan...




Pendidikan: Kunci integrasi kaum:jeghui.blogspot.com

Thursday, January 27, 2011

http://jeghui.blogspot.com/2007/07/pendidikan-kunci-integrasi-kaum.html January 25, 2011

My Side of the Story: Pendidikan: Kunci integrasi kaum
Lupakan Sekolah Wawasan. Apa yang kita perlu ada ialah sekolah satu aliran. Satu
sekolah yang diikuti pelajar-pelajar berbilang kaum. Satu sekolah yang tidak berdasarkan
kaum.

Maka tiada lagi 'Sekolah Jenis Kebangsaan'. Mungkin ini sangat mudah jika diperkatakan
sahaja. Namun secara praktikal, ia mungkin melibatkan perasaan dan jati diri sesuatu
kaum.

Jika diamati, sekolah-sekolah di United Kingdom ini semuanya bercakap dengan satu
bahasa. Bahasa Inggeris menjadi bahasa perantara. Ia merupakan medium yang paling
mudah diterima oleh pelajar-pelajar yang berbilang kaum seperti India, Arab, Pakistan,
Inggeris, Afrika, Cina dan lain-lain. Malah, ia merupakan alat yang sangat efektif dalam
integrasi kaum.

Kunci kepada integrasi kaum adalah pendidikan. Tidak perlu saya bahaskan di sini lagi
kerana ia adalah sangat jelas di mana kanak-kanak senang bergaul berbilang bangsa
sejak di bangku sekolah. Mereka akan belajar bersama, bermain bersama dan
meyelesaikan masalah bersama.

Jika tidak silap saya, sepertimana yang diberitahu oleh seorang rakan, Sekolah Wawasan
adalah suatu ide di mana 3 sekolah berbeza kaum di satukan di satu kawasan. Tiga
bangunan tetapi satu laman. Perkara yang diutarakan ini amat mengelirukan dan geli
hati jika saya bayangkan jika ia dijadikan realiti. Risau jugak jika ketiga-tiga sekolah ini
menjadi seteru pula!

Mungkin masyarakat Cina kurang berminat untuk mempersetujui konsep satu sekolah
senegara sepertimana yang dilaporkan di dada-dada akhbar yang dicetak mereka. Saya
yang berbangsa Melayu ini pula tidak dapat merasa sendiri apa sebenarnya yang
menjadi batu penghalang kepada mereka untuk mengikuti sekolah satu aliran yang
menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantara ini. Namun bagi saya kita
mahukan yang terbaik untuk negara kita dan integrasi kaum adalah agenda yang
utama. Saya sendiri lebih berminat menghantar anak-anak saya ke sekolah yang
berbilang bangsa daripada ke sekolah yang 100% bangsa Melayu. Hal ini demikian
kerana saya mahukan anak-anak saya membuka minda mereka bercampur gaul dan
menyayangi bangsa-bangsa lain. Bukankah itu lebih menarik? Tidak mahulah saya lihat
anak-anak saya menjadi stereotaip dan mula membayangkan bangsa lain begitu asing.
Apakah sebenarnya yang menjadi titik tolak batu penghalang sekolah satu aliran ini? Jika
kita amati, United Kingdom menerapkan di sekolah-sekolah satu bahasa iaitu bahasa
pengantar kebangsaan mereka, iaitu Bahasa Inggeris dan ianya tidak pula menjadi isu
kepada bangsa-bangsa yang lain. Tidak pula masyarakat Pakistan memaksa Bahasa
Urdu menjadi bahasa pilihan mereka di sekolah? Gadis-gadis India-British giat pula saya
perhatikan berbahasa Inggeris siap dengan loghatnya. Tidak kurang pula masyarakat
Cina-Inggeris di sini berdasarkan seorang rakan mahjong saya yang fasih berbahasa
masyarkat berhidung tinggi ini. (Nota: saya bermain mahjong tidak berjudi). Jadi, adakah
set minda seperti ini susah untuk digunapakai di Malaysia?

Apa yang penting ialah kita berbahasa dengan satu bahasa. Janganlah begitu
menganggap bahasa kebangsaan itu milik bangsa saya 100%. Lihatlah dalam artikel
saya ini. Banyak perkataan Inggeris telah dipinjam untuk menulis Bahasa Malaysia.
Sebab itu saya mengambil positif apabila Bahasa Melayu telah diwartakan kembali
kepada Bahasa Malaysia. Sebab ia juga milik bangsa lain seperti India, Cina, Kadazan,
Bidayuh, Iban dan lain-lain. Dengan erti kata lain, bahasa ini milik semua rakyat Malaysia!
Mungkin masyarakat Cina dan India takut jika bahasa mereka diluput zaman. Usahlah
risau. Jika kita lihat masyarakat Arab-Malaysia, walaupun bahasa mereka tidak digunapakai
di sekolah-sekolah Malaysia, Bahasa Arab masih diajar secara elektif di sekolahsekolah
agama dan harian. Saya sendiri berkesempatan berguru menuntut Bahasa
Arab. Dan ia masih lagi lekat di lidah walaupun hanya sekelumit. Jika mahu berinteraksi,
sedikit-sedikit boleh lah di Dubai sebulan yang lalu. Kai-fa haluk? Kam dirham ila Burj Al-
Arab? Mungkin tatabahasa dan penguasaan bahasa amat lemah tetapi boleh
berinteraksi. Jika saya yang tidak bijak inipun masih lekat di lidah, saya yakin yang
dipupuk sejak kecil lagi semestinya akan lekat terus bahasa itu di sanubari mereka!
Pokoknya, bahasa Cina dan Tamil boleh sahaja diajar di sekolah-sekolah satu aliran ini.
Tambahan pula, di rumah, bahasa-bahasa ini lebih mudah diterapkan. Mengapa Bahasa
Malaysia dikatakan bahasa yang tidak perlu kita pelajari? Atas alasan ia milik bangsa
Melayu? Sepertimana yang disebut tadi, ia milik kita semua. Dan bukankah ia sangat
penting untuk integrasi kaum? Buanglah segala ego dan perasaan perkauman itu dan
belajarlah bahasa yang paling mudah di dunia ini.

Apabila saya cakap bahasa yang mudah, hal ini bukanlah kerana saya ini orang Melayu.
Padahal ia sangat mudah atas sebab struktur tatabahasa yang sangat mudah difahami.
Jika dalam French, kita ada 'feminine' dan 'masculine', di dalam Bahasa Malaysia, tiada.
Jika bahasa Inggeris ada 'past tense dan present tense', Bahasa Malaysia kita hanya
perlu tambah perkataan 'sedang, telah atau akan' sahaja.

Bukankah ianya sangat mudah?

Sukar untuk saya terima jika Bahasa Inggeris dijadikan medium perantara utama di
sekolah-sekolah satu aliran ini. Kerana ini adalah negara Malaysia. Bukan lagi negara
penjajah British. Namun, bukanlah saya sarankan untuk melupuskan bahasa ini sama
sekali. Bahasa Inggeris masih wajib kerana ia adalah sangat penting di dunia ini. Tetapi
kita mestilah ada identiti kita sendiri. Iaitu identiti Malaysia. Identiti timur. Maka, Bahasa
Malaysia lah yang kita mahu gunakan. Siapalah kita ini jika bahasa asal dilupakan?
Apa yang paling penting ialah kita hidup bersama berbilang kaum dengan aman. Budak-budak
sekolah belajar bermain bersama berbilang kaum sejak kecil. Sebab bukankah
melentur buluh itu dari rebung?

Saya tidak rasa ini susah untuk dipraktikkan. Asalkan kita dapat bertolak-ansur, maksud
saya, apa salahnya? Pokoknya apakah yang lebih penting? Keharmonian negara bukan?
Kerjasama di antara kaum bukan? Saya perhatikan politik Malaysia masih lagi
berteraskan etnik tetapi kita masih lagi dalam proses transisi ke arah integrasi kaum
yang lebih mapan.

Lagi sekali saya mahu sarankan. Bahasa Malaysia bukanlah milik satu bangsa. Ia adalah
milik kita rakyat Malaysia. Namun, kita tidak akan melupakan bahasa-bahasa asli seperti
Bahasa Melayu Asli, Mandarin, Hokkien, Kantonis, Tamil, Arab, Portugis dan lain-lain di
mana ianya semua diajar juga di sekolah-sekolah satu aliran ini. Ia masih boleh dikuasi
oleh siapa-siapa sahaja. Bahasa Malaysia dipilih untuk menjadi bahasa utama kerana ia
adalah bahasa kebangsaan. Maka persoalan tidak akan timbul jika ia dilihat seperti
bahasa yang menyatukan kaum.

Tiada masalah!

Dalam konteks yang sama, saya juga tidak menghalang jika sekolah-sekolah berasrama
penuh dibuka juga kepada masyarakat yang lain. Saya difahamkan, Kolej Yayasan Saad
Melaka telah membuka peluang kepada masyarakat bukan Melayu. Ini adalah langkah
yang bijak. Saya juga tidak menghalang jika MRSM juga dibuka untuk semua kaum
(MRSM Beseri contohnya telah membuka peluang kepada pelajar-pelajar Thai, India dan
lain-lain). Ini juga termasuk MCKK, TKC, STF, SSP dan lain-lain. Apa-apa sahaja, asalkan
integrasi kaum dapat dilaksanakan.

Ini juga termasuk universiti-universiti tempatan supaya kita lebih kompeten dan
bekerjasama.

Saya berpeluang untuk kembali bersahabat dengan rakan-rakan bukan Melayu apabila
memasuki Kolej Yayasan UEM (KYUEM) atau sebelumnya dipanggil Kolej Matrikulasi
Yayasan Satu (KMYS). Sebelum itu, saya hanya berpeluang mengenali rakan-rakan
bukan Melayu di sekolah rendah SRK St Francis. Di sinilah saya mengecapi kebebasan
bersosial dengan masyarakat secara lebih terbuka di mana debat-debat perkauman dan
agama dilakukan dengan penuh tertib dan ini membuahkan ide-ide bernas dan neutral.
Yang penting sekali, integrasi kaum dapat dijalankan.

Seorang sahabat berkata "Why bother? We live in a racist world anyway!"
Maaflah. Malangnya saya tidak seperti kamu yang hanya mahu mengikut keadaan
semasa dan sudah 'complacent' dengan keadaan sekarang. "I'm not willing to follow the
herd. Why should I?" ujar saya sinis kepadanya.

Jika masih ada ruang untuk kita baiki negara Malaysia, 'I'm up for it'. Ceteklah fikiran
saya jika saya memilih seseorang itu berdasarkan warna kulit. Ceteklah jika saya
menghina pemenang sukan tennis wanita Wimbledon 2007 tanpa sebab contohnya.
Lagipun, kita semua sama sahaja. Manusia semuanya.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini. Malah mungkin ada yang
melabel saya 'perosak bangsa' dengan pandangan tak seberapa saya ini. Maaflah. Saya
lebih pentingkan keharmonian sejagat daripada hendak menang sorak meraih sokongan
bangsa saya sahaja. Insya Allah, sebelum saya menghembus nafas yang terakhir saya
nanti, harap-harap dapatlah saya lihat perubahan dalam politik dan sosial Malaysia.

Sudah cukup jika ia bermula dengan sekolah satu aliran.

0 comments:

Post a Comment