EDU 3106

Satu perkongsian ilmu tanpa batasan...




Integrasi Antara Kaum (Setelah 51 Tahun Merdeka)

Thursday, January 27, 2011

http://www.kapasitor.net/community/post/2019 January 25, 2011

Bold
Integrasi Antara Kaum (Setelah 51 Tahun Merdeka)

Petaling Jaya, September 2008

Saya adalah seorang remaja berbangsa Melayu, yang cukup segak bila mengenakan
teluk belanga di tubuh, dengan songket dan capal, serta songkok tinggi di kepala.
Makanan kegemaran saya pula semestinya lontong, mi bandung Muar dan laksa Johor.
Saya juga pernah 3 kali jatuh hati pada gadis-gadis yang sebangsa dengan saya,
mungkin kerana tertarik dengan budi bahasa dan sopan santun yang tidak pernah
lekang daripada gadis Melayu itu sendiri.

Namun saya bukanlah seorang yang bersifat perkauman. Ini kerana Rasulullah S.A.W
sendiri tidak memperjuangkan bangsanya - iaitu Quraish. Sebaliknya Rasulullah S.A.W
memilih untuk memperjuangkan agama Islam, dan dalam masa yang sama
menghormati penganut agama lain supaya akhlak penganut Islam tidak menimbulkan
fitnah kepada agama Islam itu sendiri.

Saya menjalani musim pra-persekolahan di tabika Kemas, yang semua penuntutnya
adalah berbangsa Melayu. Oleh sebab itu, pergaulan saya dengan penuntut daripada
bangsa Cina dan bangsa India hanya bermula ketika saya di dalam darjah satu.
Ketika di sekolah rendah, sahabat karib saya ialah seorang India yang bernama Hari
Arun. Kami jadi rapat mungkin kerana kami berkongsi cita rasa yang sama iaitu bermain
bola sepak. Kami sama-sama menempah jersi pasukan kami di Kompleks PKNS Shah
Alam. Pasukan kami dianggotai oleh murid-murid darjah 6 Seroja dan pasukan kami
dikenali sebagai 'Black Hawk'.

Di alam persekolahan menengah pula, saya bersahabat karib dengan seorang Cina
bernama Ng Kai Rong. Sekali lagi persahabatan kami dirintis oleh cita rasa yang sama -
muzik. Saya masih ingat lagi saat Ng Kai Rong mempromosikan kaset XPDC yang
bertajuk 'Kita Peng-Yu' kepada saya. Menurut Kai Rong, 'Peng-Yu' di dalam bahasa Cina
bermaksud 'kawan' dan tambahnya lagi, XPDC adalah Metallica Malaysia. Saya juga
masih ingat ketika kami bergilir-gilir membaca majalah Ujang ketika guru sedang
mengajar di hadapan kelas, dan saya masih ingat juga saat kami sama-sama menghisap
rokok di tandas sekolah ketika kebosanan menjelma.

Tamat tingkatan lima, pelajar-pelajar Cina dan India terpaksa mengambil STPM untuk
melayakkan mereka ke Universiti, sementara kebanyakan pelajar melayu ditempatkan di
Bahagian Matrikulasi dan saya sendiri melanjutkan pengajian di UiTM.
Sepanjang persahabatan saya dengan Hari Arun dan Ng Kai Rong itu, bahasa
pertuturan sesama kami ialah Bahasa Melayu. Kami hanya menggunakan Bahasa
Inggeris ketika di dalam kelas Bahasa Inggeris.

Saya bekerja selama setahun di Bank Rakyat yang keseluruhan pekerjanya berbangsa
Melayu dan apabila saya berhijrah ke RHB, saya kembali bersahabat dengan kaum Cina
dan India. Malangnya suasana persekolahan dan suasana kerja adalah amat berbeza
sekali, saya tidak lagi menggunakan Bahasa Melayu ketika bertutur dengan rakan-rakan
Cina dan India, sebaliknya bertutur di dalam Bahasa Inggeris. Ini adalah disebabkan
kebanyakan orang Cina dan India tidak lagi fasih berbahasa Meayu dan pertuturan
dengan mereka menjadi lebih selesa dengan menggunakan Bahasa Inggeris. Itulah yang
terjadi kepada warganegara Malaysia setelah 51 tahun Malaysia merdeka.

Saya kira situasi ini haruslah diperbetulkan, Saya kira Bahasa Melayu haruslah diangkat
kembali menjadi bahasa pertuturan rakyat Malaysia dan Bahasa Inggeris haruslah kekal
menjadi bahasa kedua.

Saya merasakan bahawa Tabika Kemas haruslah dipupuskan dan setiap tabika mestilah
disertai oleh ketiga-tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India dan bahasa pendidikan
haruslah menggunakan Bahasa Melayu.

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan juga haruslah dipupuskan, tetapi pelajar boleh memilih
untuk mempelajari Bahasa Mandarin, Tamil ataupun Arab sebagai bahasa ketiga di
semua Sekolah-Sekolah Kebangsaan.

Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Berasrama Penuh haruslah membuka ruang
yang lebih banyak untuk pelajar Cina dan India selain Melayu. supaya ketiga-tiga bangsa
ini tidak dipisahkan seperti yang berlaku di zaman 'pecah dan perintah' dahulu.

UiTM dan Bahagian Matrikulasi juga haruslah membuka ruang untuk pelajar Cina dan
India supaya mereka dapat bersama-sama membina ilmu bersama penuntut Melayu dan
seterusnya melahirkan warganegara yang berjiwa Malaysia.

Peluang kerja di sektor kerajaan juga haruslah ditawarkan dengan lebih banyak lagi
kepada orang Cina dan orang India sementara peluang kerja di sektor swasta
ditawarkan dengan lebih banyak lagi kepada orang Melayu. Dan semestinya urusan
surat menyurat, temuduga kerja dan sebagainya haruslah dibuat dalam Bahasa Melayu
secara total.

Akhir kata, saya berharap 49 tahun dari sekarang, ketika kemerdekaan menjejak usia
100 tahun, bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain akan menjadi begitu
patriotik dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai paksinya.

Malaysia Untuk Rakyat Malaysia!

0 comments:

Post a Comment