EDU 3106

Satu perkongsian ilmu tanpa batasan...




KDNK.

Thursday, January 27, 2011

Keluaran Dalam Negeri Kasar Suku Ketiga 2010 (Kemaskini: 22/11/2010)CetakE-mail
Isnin, 22 November 2010 18:00

PERTUMBUHAN EKONOMI

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2010. Dari segi pengeluaran, semua sektor terus merekodkan pertumbuhan positif kecuali sektor Perlombongan & Kuari. Sektor Perkhidmatan dan Pembuatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan. Dari segi perbelanjaan, pertumbuhan didorong oleh Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta dan Pembentukan Modal Tetap Kasar.

Momentum pertumbuhan bagi tiga suku pertama tahun 2010 kembali positif kepada 8.0 peratus daripada negatif 3.7 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

PERTANIAN

Sektor Pertanian terus mencatatkan pertumbuhan positif 2.7 peratus. Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan dalam subsektor Pertanian Lain (7.9 peratus), Perikanan (7.5 peratus), Ternakan (10.9 peratus) dan Kelapa Sawit (3.5 peratus). Pertumbuhan bagi subsektor Pertanian Lain dirangsang oleh pengeluaran yang tinggi untuk sayur-sayuran dan buah-buahan.

Permintaan tinggi terhadap daging lembu dan ayam itik pada suku ini telah meningkatkan pertumbuhan subsektor Ternakan. Bagi subsektor Perikanan, kedua-dua aktiviti marin dan akuakultur masing-masing meningkat sebanyak 6.3 peratus dan 11.0 peratus. Sementara itu, subsektor Getah merekodkan pertumbuhan marginal 0.5 peratus berikutan peningkatan dalam jumlah hari hujan.

PERLOMBONGAN DAN KUARI

Sektor Perlombongan dan Kuari menyusut sebanyak 1.0 peratus pada suku ini. Pengeluaran yang tinggi dalam gas asli (7.2 peratus) tidak dapat mengimbangi kejatuhan dalam pengeluaran minyak mentah (-4.2 peratus) dan kondensat (-14.5 peratus).

PEMBUATAN

Sektor Pembuatan terus meningkat walaupun pada kadar lebih sederhana 7.5 peratus berbanding 16.0 peratus pada suku sebelumnya. Subsektor Elektrik & Elektronik (8.7 peratus), Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik (5.7 peratus) dan Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (9.3 peratus) merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan.

PEMBINAAN

Sektor Pembinaan merekodkan pertumbuhan 2.8 peratus berbanding 4.1 peratus pada suku lepas. Pertumbuhan diterajui oleh subsektor Kejuruteraan Awam (8.8 peratus) dan Bukan Kediaman (15.1 peratus). Walau bagaimanapun, subsektor Kediaman mencatatkan penurunan kecil berbanding pada suku sebelumnya.

PERKHIDMATAN

Sektor Perkhidmatan mengekalkan momentum pertumbuhan pada kadar 5.4 peratus disokong oleh aktiviti berkaitan penggunaan swasta dan perdagangan. Subsektor Perdagangan Borong & Runcit mengecil kepada 5.7 peratus disebabkan oleh pertumbuhan yang lebih rendah dalam segmen Borong dan Kenderaan Bermotor. Walau bagaimanapun, segmen Runcit kekal kukuh disumbangkan oleh aktiviti Jualan Runcit di dalam Stor Tanpa Pengkhususan. Subsektor Kewangan & Insurans tumbuh 6.4 peratus berikutan pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi dan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (KDS).

Penggunaan perkhidmatan telefon mudah alih, jalur lebar dan 3G yang lebih tinggi telah mengukuhkan pertumbuhan dalam subsektor komunikasi kepada 9.1 peratus. Subsektor Hartanah dan Perkhidmatan Perniagaan meningkat sebanyak 6.2 peratus dipacu oleh peningkatan dalam aktiviti pasaran modal dan perkhidmatan profesional. Subsektor Pengangkutan dan Penyimpanan meningkat 5.5 peratus pada suku ini didorong oleh prestasi kukuh pengangkutan penumpang.

PERBELANJAAN PENGGUNAAN AKHIR


Perbelanjaan Penggunaan Akhir tumbuh pada kadar lebih perlahan 3.5 peratus berbanding 7.7 peratus pada suku sebelumnya. Pertumbuhan ini disokong oleh pengembangan stabil dalam Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta yang meningkat kukuh 7.1 peratus berbanding 1.3 peratus pada suku yang sama tahun sebelumnya. Perbelanjaan yang tinggi adalah ke atas makanan dan minuman, komunikasi dan pengangkutan.

PEMBENTUKAN MODAL TETAP KASAR

Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) meningkat sebanyak 9.8 peratus disebabkan oleh pengembangan perbelanjaan dalam Jentera & Kelengkapan dan Peralatan Pengangkutan. Ini adalah selari dengan peningkatan dua digit barang modal yang diimport dan pengeluaran domestik kenderaan bermotor.

EKSPORT DAN IMPORT


Bagi sektor luaran, Eksport menunjukkan arah aliran perlahan dengan merekodkan pertumbuhan 6.6 peratus berbanding 13.8 peratus pada suku lepas. Bagi eksport barangan, kebanyakan komoditi menunjukkan pertumbuhan perlahan kecuali bagi produk makanan dan minuman. Sementara itu, Import meningkat sebanyak 11.0 peratus kebanyakannya didorong oleh barang pengantara dan modal.

SEMAKAN


Semakan sumber data telah menyebabkan semakan dibuat terhadap anggaran suku kedua bagi sektor-sektor berikut: Perlombongan & Kuari, Pembuatan, Utiliti, Penginapan & Restoran, Pengangkutan & Penyimpanan dan Perkhidmatan Lain.

0 comments:

Post a Comment